Assalamu`alaikum wrt.
Adik,
Apa khabar?, ayah harap adik dalam keadaan sihat sejahtera selalu.
Sengaja ayah tulis surat untuk adik ni, kerana memenuhi permintaan adik. Adik selalu tanya, bilakah ayah nak tulis surat untuk adik?. Maafkan ayah ya!. Bukan apa, kerana adik selalu berada bersama dengan ayah dan mama di rumah, jadi ayah rasa tak perlulah tulis surat. Kerana setiap hari adik boleh terus tanya ayah apa yang musykil.
Rupa-rupanya tidak!. Dalam diam-diam adik jadi seorang pembaca setia surat untuk abang. Itulah silapnya ayah!. Hinggakan adik kata, ayah asyik tulis surat untuk abang saja. Bila pulak nak tulis surat untuk adik. Ok dik. Sekarang ayah nak tulis surat untuk adik pulak. Tapi kena janji, baca tau! Baca sampai habis, lepas tu fahami apa yang ayah nak beritahu ya.
Adik!
Untuk surat pertama ni, ayah suka nak imbas semula satu peristiwa yang pernah adik lalui. Rasa kalau tak silap ingatan ayah ialah dua minggu lepas, iaitu hari Isnin 28 Mac 2011. Pagi tu seperti biasa selepas mama ke pejabat dan adik ke sekolah, ayah ke asrama belakang rumah (Reban ayam, kucing, puyuh, ikan dan arnab) untuk memberi makanan pada penghuninya, sambil bersembang-sembang dengan mereka, walaupun tanpa respons suara yang jelas, ayah tahu, kesemuanya amat seronok apabila hal ehwal mereka diambilcakna. Alhamdulillah!.
Namun, lebih kurang jam 8.15 pagi tiba-tiba ayah dikejutkan dengan satu suara tangisan seseorang dari arah pintu kecil di belakang rumah kita. Suaranya lebih kurang begini: “Ayah!, ayah!, mari pegi sekolah jumpa dengan kawan-kawan adik. Dia orang semuanya kata kat adik macam-macam, jebeklah, itulah inilah. Ayah! Mari pegi sekolah jumpa dia, ayah kena marahkan dia”.
Ayah ingat siapa, rupa-rupanya suara adik sendiri. Pagi-pagi lagi adik dah balik, apa hal ni. Adik minta ayah pergi ke sekolah marahkan kawan-kawan kerana mengusik adik dengan pelbagai ragam yang menyakitkan. Bagi ayah itu bukan suatu perkara yang luar biasa. Tambahan pula sekarang ini dalam akhbar-akhbar sering kita mendengar berita mengenai kes buli pelajar.
Ayah tidak salahkan adik, kerana dari segi situasi, sememangnya adik sudah sedia tertekan. Pada malam sebelumnya ada sikit salah faham antara adik dengan mama, menyebabkan mama melepaskan sebahagian dari kemarahannya kepada adik. Ayah tengok adik menangis, menangis dan menangis, ayah tengok beria-ia benar adik menafikan yang adik tidak melakukan perkara tersebut. Mama yang memang terkenal dengan sikap tegasnya terus mempersoalkan kejujuran adik. Ayah pun pada mulanya juga menyangka yang adik melakukannya, turut tumpang sekaki menambahkan lagi tekanan perasaan terhadap adik. Tapi setelah melihat reaksi adik yang berani mempertahankan diri dalam tangisan, sambil meminta bukti, ayah jadi kesian, dan ternyata selepas itu adik berada di pihak yang benar. Mama silap faham. Ayah suruh mama minta maaf. Dan mama akur. Itulah mama. Di sebalik tegas ada lembutnya. Cepat mengakui kesilapan.Alhamdulillah!. Namun kesan-kesan tekanan perasaan masih lagi adik rasai sampai ke pagi.
Masih lagi terbayang di pagi itu, dengan mata yang masih merah membengkak kesan tangisan malamnya, ayah tanya, “Adik masih marah kat mama lagi ke?”. Adik jawab, “Tidak, adik dah maafkan mama”. Lalu dengan saki baki tangisan itu adik ke sekolah, dan di sana adik terus diusik, disakat oleh kawan-kawan, sehinggakan adik beritahu ayah, “Tidak ada lagi orang nak berkawan dengan adik. Semuanya membenci adik”.
Menyedari situasi sebegini, lalu ayah minta adik masuk dalam rumah, bertenang, dan rihat dulu. Tak apalah tak usah fikirkan tentang kerenah kawan-kawan. Apa yang penting adik sudah berada di tempat selamat dan tidak diganggu lagi. Adik nak tukarkan uniform sekolah dengan pakaian yang biasa adik pakai di rumah. Ayah kata jangan, kerana adik masih dalam tempoh persekolahan. Kerana 7.30 pagi hingga ke 3.00 petang adik kena berada di sekolah. Proses pembelajaran sepatutnya berlaku. Untuk itu adik tidak boleh tanggalkan pakaian sekolah. Disiplin kena adik patuhi, Cuma dari segi teknikalnya saja adik tidak berada di dalam kelas.
Adik patuh dengan kehendak ayah. Lalu setelah selesai semua tugas rutin, ayah minta adik ceritakan perkara sebenarnya yang berlaku di sekolah pagi tu. Lepas tu ayah ajak adik pergi minum dan ikut serta ayah mengajar pelajar-pelajar Laos mengenai Asas Fardhu Ain di Ma`ahad Tahfiz wat Tarbiyyah di Tok Jiring. Adik ikut serta dan menjadi salah seorang murid di kelas yang ayah ajar. Pakaian tetap dengan seragam sekolah. Cuma kelasnya saja yang berlainan, kalau biasanya adik dalam Darjah 6S, hari ini dengan pelajar-pelajar remaja ayah yang umurnya antara 14 hingga 19 tahun. Tak apalah dik!.
Kawan-kawan ayah tanya, kenapa tak ke sekolah, ayah jawab,“Adalah sebabnya tu”.. Itu saja. Selesai mengajar kita terus balik. Dan adik terus berada bersama ayah hingga ke petangnya. Kelas petang dan malamnya juga adik tak hadir. Memang ayah pun taklah nak suruh adik ke kelas hari tu. Hinggalah jam enam petang, adik bersama mama dan ayah pergi ke sekolah untuk mengambil semula beg yang adik tinggalkan pagi tadi. Beg tak ada di tempat yang adik letakkan. Rupanya kawan-kawan adik telah membawa beg adik ke dalam kelas. Pada ayah itu satu pertanda baik.
Di sebelah malamnya kita berbincang mengenai peristiwa yang menimpa adik. Mama cadangkan supaya ayah ke sekolah esoknya, ayah rasa tak perlu. Ayah nak cuba satu teori. Ayah cadangkan kat adik supaya ke sekolah esoknya seperti biasa iaitu secara bersendirian juga, dengan sedikit bekal motivasi diri. Ayah dan mama tak perlu hantar dan jumpa dengan kawan-kawan. Kerana tindakan adik balik ke rumah pada hari itu, sambil meninggalkan beg di tempat kejadian, menangis sepanjang jalan, kemudian terus tak ke sekolah hingga ke malamnya, itu pada ayah sudah merupakan permulaan yang baik, sebagai suatu isyarat halus, amaran kepada kawan-kawan, bahawa aktiviti tersebut bakal diketahui oleh ibu bapa atau guru-guru di sekolah. Dan perkara ini kalau diteruskan akan diambilkira dan mungkin sampai ke pihak atasan. Dan pada ayah, tindakan adik balik sambil menangis sepanjang jalan pada hari itu adalah suatu tindakan yang tepat. Ayah tidaklah menyokong, tapi kalaulah itu merupakan salah satu senjatanya, teruskanlah.
Bukti pertama untuk meneguhkan teori ayah ialah beg sekolah yang adik tinggalkan dibawa oleh kawan-kawan untuk disimpan di dalam kelas. Ertinya dalam keadaan mereka suka menyakat dan membuli, mereka juga takut dipersalahkan untuk kes kemungkinan beg adik pula hilang setelah adik sendiri menghilangkan diri dari kelas sepanjang hari tersebut.
Pagi besoknya ayah tanya samada adik berani atau tidak. Adik jawab, “Berani!”. Ayah tanya sekali lagi, “Berani tak adik ke sekolah bersendirian dan berdepan dengan kawan-kawan yang membuli adik semalam”. Sekali lagi adik jawab, “Berani”. Kagum ayah dengan perubahan baru yang adik alami. Jauh di sudut hati terdetik juga sedikit keraguan. Namun bahasa lisan dan badan adik nampaknya sedikit demi sedikit menolak keraguan tersebut. Dan ternyata adik ke sekolah pagi itu dengan suatu semangat baru.
Petangnya ayah menjadi penunggu setia untuk mendengar berita mengenai adik ke sekolah. Macam tak sabar-sabar ayah nak dengar ceritanya. Bagaimanakah kesannya. Berjayake eksperimen ayah ni. Memang dalam hidup ayah selalu bereksperimen dan bereksperimen. Dan ayah terus menunggu dan menunggu. Hinggalah adik balik ke rumah dalam keadaan yang ceria. Nampak benar kejayaan eksperimen ayah.
Adik cerita pulak kat ayah, “Ayah tau tak, si Hafiz dan Mukhlis tengok je kat adik pagi tu, dia tak kata apa-apa. Kawan-kawan lain pun tak berani lagi nak buli adik. Masing-masing tak berani nak buka mulut nak menyakat adik lagi. Cuma ada sorang yang bertanya kenapa adik balik. Cikgu kelas adik pun beritahu dia nampak adik ikut ayah ke Ma`ahad Tahfiz semalam. Dan dia tidak akan kosongkan kehadiran adik kerana adik tetap dengan pakaian sekolah walaupun tidak hadir kelas”.
Adik!
Perkara inilah yang ayah nak adik pelajari dan faham sekarang!. Sememangnya tidak hadir ke sekolah adalah merupakan suatu kesalahan. Namun dalam kes ini ayah menggunakan strategi biar titik asal jangan tumpah. Adalah lebih baik adik tidak hadir ke sekolah satu hari demi untuk mengubati jiwa yang terluka dan tertekan akibat kegiatan buli di kalangan kawan-kawan. Kemudian setelah terubat adik menjadi pelajar yang tabah untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Ayah tidaklah bermaksud untuk menyiasat ke akar umbi untuk mengetahui sama ada adik yang salah atau sebaliknya. Kadangkala berpunca dari seronok-seronok saja. Namun apa yang perlu adik perhatikan biarlah sehari tidak sekolah dengan jiwa yang terubat daripada ayah memaksa adik untuk balik ke sekolah pada hari itu, namun adik terus (truma) ketakutan sepanjang tahun.
Keduanya, ayah nak ucapkan tahniah kerana adik sudah berjaya melepasi halangan ini dan adik kena belajar menghadapinya dengan jiwa yang tabah. Adik kena ingat, di masa-masa depan pasti banyak lagi cabaran yang terpaksa adik tempohi. Andainya gelombang pertama yang tidak begitu hebat telah adik gagal, ertinya akan banyak lagi gelombang dan cabaran lain yang pasti akan melanda dalam kehidupan adik. Ayah tidak mahu adik tewas sebelum masanya. Syukurnya sekarang keluarga masih ada memberi rangsangan, apa kata nanti adik terpaksa hadapinya secara bersendirian pula.
Ketiganya, adik perlu tahu bahawa di sekolah bukan tempatnya untuk mengambil banyak masa bagi melayan kerenah kawan-kawan yang separuh masak. Matlamat adik perlu jelas, untuk belajar sehingga menjadi seorang yang berjaya. Kerenah kawan-kawan hanya aktiviti sementara dan akan segera hilang andainya kita tabah dan tidak melayan kehendak mereka.
Ok dik, kat sini dulu, baca dan fahami betul-betul surat ayah.Insya’ Allah lain kali ayah tulis lagi.
Sekian, wassalam.



{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment