Pages

Total Pageviews

Surat untuk Adik (2)

Dibuat oleh :: Girly Sarawak on Friday, 23 September 2011

Assalamu`alaikum wrt. Wbt.

Adik, apa khabar!, ayah harap adik berada dalam keadaan sihat selalu. Baru-baru ni ayah dah tulis surat yang pertama untuk adik. Ayah ingatkan adik tak tahu, sajalah ayah letakkan surat tu atas meja tulis. Rupa-rupanya semasa ayah balik dari solat di masjid adik dah baca. Wah!. Hebat tu dik. Lepas tu adik tanya bila lagi ayah nak tulis surat kat adik.
Ok dik. Pertama kali ayah ucapkan tahniah, kerana adik suka membaca apa-apa yang ayah tuliskan untuk adik dan juga abang. Ayah suka dengan sikap adik, baca dan suka membaca. Tapi jangan baca surat ayah saja. Adik kenalah baca pelajaran juga, itu yang mesti diutamakan. Untuk ayah, insya’ Allah ayah akan terus menulis apa-apa yang dapat kita kongsikan bersama.


Kali ini ayah nak sebut beberapa perkara yang perlu, kenapa adik kena tumpukan kepada buku-buku pelajaran adik. Pertama ialah kerana buku-buku pelajaran adik merupakan salah satu wasilah(perantaraan) bagi adik mencapai sebahagian dari cita-cita adik. Apa-apa yang cikgu ajar sudah tentu pada asasnya terkandung dalam buku-buku tersebut. Dengan cara ini ianya akan dapat membantu adik menguasai apa yang adik pelajari di sekolah. Apabila adik dapat menguasai isi pelajaran, maka sudah tentu ianya akan membantu adik menjadi orang yang pandai dan mungkin pintar. Ini bererti adik sudah menguasai beberapa peratus dari kehendak pembelajaran sendiri.

Keduanya, sengaja ayah sebutkan peratus, supaya adik mudah faham apa yang ayah maksudkan. Tetapi adik perlu ingat peratus yang paling besar ialah tumpuan adik pada ketika guru mengajar. Andainya adik mampu memberi tumpuan semasa guru mengajar mungkin adik akan memperolehi 70-80 peratus isi pelajaran. Selebihnya ialah perbincangan adik dengan kawan-kawan, pembelajaran adik semasa di rumah bersama dengan mama dan ayah.

Namun perlu ayah ingatkan, kesemuanya itu mestilah berpunca dari sejauh mana kehendak adik untuk berjaya, seperti yang mama selalu pesan dalam loghat yang agak berlainan “Sendiri mahu belajar, kalau sendiri tidak mahu belajar susah sikitlah”. Ini adalah kenyataan yang mesti adik kena pegang selalu. Sebab itulah mama selalu kerahkan adik supaya belajar, belajar dan belajar. Namun kerapkali ayah tengok adik jadi sebaliknya. Inilah yang kadangkala menjadikan mama hilang sabarnya. Hingga terkeluar ketegasannya terhadap adik, adik kena faham itu semua.

Mungkin adik tertanya-tanya kenapa adik perlukan ini semua, perlu beri perhatian semasa guru mengajar, perlu mengulangkaji apa-apa yang diajar dalam buku teks, perlu buat latihan, perlu ada perbincangan bersama kawan-kawan, mama dan ayah. Semuanya dalam rangka supaya adik jadi orang pandai. Dapat kuasai isi pelajaran, ini akan membantu adik menjawab soalan-soalan yang dikemukakan semasa peperiksaan. Bila dah dapat jawab, adik akan berjaya dalam peperiksaan. Cikgu akan suka, semuanya akan berasa bangga di atas kejayaan adik.

Apa yang penting ialah adik dapat menguasai isi pelajaran, dengan cara itu, semua yang dipelajari seakan-akan menjadi milik kita, maka dalam peperiksaan adik tidak akan menggelabah bila tengok soalan. Ayah tidak mahu adik ‘panik’ ketika menghadapi peperiksaan. Kadangkala terdapat pelajar yang tak dapat jawab soalan, lalu mengambil jalan mudah dengan meniru. Ini sebenarnya kerja menipu. Adik kena ingat, bahawa kerja-kerja begini sebenarnya tidak baik dan akan membawa hidup yang tidak berkat. Sekali adik meniru, kemudian berjaya. Kejayaan itu sebenarnya adalah kejayaan palsu. Ayah tidak perlukan kejayaan yang palsu. Ayah mahu adik mendapat kejayaan yang betul-betul berdasarkan usaha adik. Jangan berbangga dengan markah yang tinggi sedangkan kita meniru. Adalah lebih baik kita mendapat markah yang rendah asalkan itu benar-benar hasil usaha kita.

Adik tau tak! Semasa ayah mengajar dulu, pernah ayah berikan markah kosong kepada tiga orang pelajar ayah yang meniru semasa peperiksaan dijalankan. Ketiga-tiganya bukanlah pelajar yang tidak pandai. Sebenarnya mereka pandai, malah mereka adalah tergolong dalam kumpulan ‘top ten’. Kalau tak meniru pun mereka sudah berjaya mencapai markah yang baik. Kelas mereka adalah kelas elit. Namun, mereka melakukan kerja yang bukan saja terlarang dari sudut etika pembelajaran biasa, tetapi juga terlarang dari sudut Islam. Menipu bukan sahaja kesalahan biasa, tetapi ianya merupakan salah satu ciri awal untuk menuju ke gerbang munafik. Sebab itulah ayah kena cegah dari awal-awal lagi. Ingatlah satu prinsip yang sering disebut orang “Prevention is better then cure”. Maka prinsip yang sama ayah gunakan untuk pendidikan. Sebelum ianya menjadi satu kebiasaan bagi pelajar, ayah perlu bertindak mencegahnya terlebih dahulu. Ayah tak pastilah maksud sebenarnya pelajar-pelajar itu meniru, samada mahu mencabar kewibawaan ayah atau takut prestasi mereka merosot. Tapi yang jelas ayah telah cuba mencegah mereka dari awal sebelum merebak menjadi kudis yang sukar diubati. Dan hasilnya ayah berjaya membawa mereka kembali ke pangkal jalan. Andainya mereka terbaca surat ini, ayah cukup berterima kasih dengan sikap mereka yang banyak membantu ayah untuk mencegah penyakit tersebut. Mereka sebenarnya telah belajar dari kesilapan, dan ayah ajar mereka, hinggakan mereka mampu miliki apa yang dihasratkan dalam tarbiyyah yang sebenarnya.

Adik tau tak! Masih lagi terbayang, ketiga-tiga pelajar ini datang memohon maaf kepada ayah, dengan air mata bercucuran, macam belimbing masak dik. “Minta maaf, ustaz, lain kali kami janji tak akan buat lagi”. Apa ayah cakap. “Saya boleh maafkan anda, tapi markah tetap saya akan kosongkan, kalau saya berikan juga markah bererti saya merestui kerja salah anda. Saya telah berlaku tidak adil kepada pelajar-pelajar lain. Di samping itu ianya juga akan menyuburkan benih-benih penipuan yang ada dalam diri anda. Biarkanlah anda saya kosongkan agar ianya menjadi pengajaran, dan anda akan ingat selama-lamanya bahawa kerja ini adalah salah. Saya lebih menyanjung pelajar yang dapat rendah markahnya asalkan itu adalah benar-benar datang dari usahanya sendiri”. Hampir-hampir cair jugak hati ayah melihat air mata mereka yang bercucuran ketika itu. Tapi mengenangkan hal peri pentingnya tarbiyyah, maka ayah kenalah teruskan. Ayah tidak pastilah samada mereka masih lagi ingat peristiwa tersebut. Apa yang penting itulah dia tarbiyyah (pendidikan dan pengasuhan).

Ketiganya, kenapa ayah sebut ceritanya di sini. Tujuannya ialah supaya adik benar-benar tahu bahawa ‘tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan’. Laluannya sangat sukar dan berliku-liku. Semua orang yang berjaya pasti melalui jalan tersebut. Ayah dan mama telah melaluinya, dan adik kena lalui juga. Tidak dapat tidak, mesti. Kalau orang dulu nak berjaya kena belajar macam nak mati. Adik juga kena lakukan perkara yang sama. Dan andainya adik jadi murid ayah, juga melakukan perkara yang sama (meniru) untuk mata pelajaran yang ayah ajar, ayah tidak akan teragak-agak memberi markah yang lebih bawah dari kosong. Ingat ya dik.

Perkara keempatnya, perlu adik fahami bahawa kejayaan tidak akan menjadi sempurna andai tidak disertai dengan akhlak yang mulia. Pelajar yang cemerlang dalam Islam bukan sahaja dari sudut keputusan peperiksaannya tinggi saja, tetapi juga akhlak mereka mesti mulia. Patuh kepada ajaran yang diberikan, taat kepada Allah, Rasulnya, agamanya dan kedua ibubapanya. Baik tingkahlaku dengan kawan-kawan dan persekitaran. Itulah permulaan untuk seseorang itu menjadi cemerlang di dunia dan akhirat.

Kelimanya adik juga perlu ingat bahawa belajar semasa kecil banyak keuntungannya. Ayah masih ingat satu pepatah Arab yang menyebut lebih kurang bermaksud:

التعلم في الصغر كالنقش على الحجر، والتعلم في الكبر كالنقش على الماء

“Belajar semasa kecil seperti mengukir di atas batu, sementara belajar setelah besar (dewasa) seperti mengukir di atas air”. Apa erti ini semua. Biar ayah terangkan. Mengukir di atas batu mungkin suatu perkara yang sukar. Namun kalau sudah terukir ianya akan kekal dan susah nak tanggal. Waktu kanak-kanaklah yang paling sesuai dan selesa untuk mengisi dada dengan Ilmu pengetahuan yang berguna kerana apabila usia sudah meningkat tua kita akan menghadapi masalah susah hendak menghafal dan mengingat isi ilmu, sama seperti mengukir di atas air, setelah diukir akan padam dan padam seterusnya padam.

Pentingnya belajar semasa kecil ialah kerana masa kecil otak, pemikiran masih bersih belum dicemari dengan maksiat. Dalam kenyataan lain ayah juga pernah berjumpa dengan kata-kata"Belajar di waktu kecil ibarat mengukir di atas batu, kekal hingga akhir hayat. Belajar semasa dewasa seperti mengukir di atas pasir, ia yang akan hilang bila ditiup angin". Tak apa dik, dua-dua adik boleh digunakan. Kalau mengukir atas air pun susah nak nampak begitu juga mengukir atas pasir. Kedua-duanya mudah hilang. Apa yang penting sekarang adik masih memiliki zaman kanak-kanak adik.

Mudah-mudahan adik seronok dengan zaman ini. Ayah dah dewasa, tak mungkin dapat kembali ke zaman seperti adik. Tetapi ayah masih dapat rasai kesan yang diukirkan oleh guru-guru ayah semasa ayah kecil dulu. Hinggakan kini, semasa ayah mengajar di mana-mana pun kadangkala ukiran itu akan timbul kembali untuk membantu pengajaran ayah. Demikianlah halnya mengukir di atas batu. Cukup kuat kesannya dan mendalam ingatannya dik. Untuk itu manfaatkanlah zaman adik kini dengan sebaik-baiknya.

Keenamnya adik juga perlu ingat sebelum kita nak menuntut ilmu atau sebelum memulakan pengajian, kita kena pasang niat dalam hati, "Aku belajar ni kerana Allah, macam sembahyang jugaklah kena ada niat. Cuma belajar tak payahlah sebut rakaatnya. Apa yang perlu ialah supaya kita dapat dapat faham, dapat amalkan ilmu, dan dapat tingkatkan kemampuan untuk kenal Allah dan makhluknya”.

Ok dik! Kat sini dulu untuk kali ini, insya’ Allah berjumpa lagi di masa akan datang. Peluk cium dari ayah, mama dan abang untuk adik. Saayang adik!. Uummm. 

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

ShareThis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Anda mungkin meminati Artikel dari Mereka :


ShoutMix chat widget